Bagi pelaksanaan tahun ini, MyCEB bekerjasama dengan Hospital ReGen Rehab bagi menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta sesi perkongsian dan pendidikan kesihatan kepada warga emas. Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, di samping menyokong kesejahteraan dan kualiti hidup warga emas.
Penglibatan berterusan MyCEB menerusi Program Santuni MADANI mencerminkan komitmen organisasi bukan sahaja untuk turun padang, tetapi juga untuk membina hubungan yang lebih erat dan berkekalan bersama komuniti.
“
Santuni MADANI bukanlah satu inisiatif yang bersifat sekali sahaja. Bagi MyCEB, program ini merupakan komitmen jangka panjang untuk terus mendekati, mendengar dan memahami keperluan komuniti. Kehadiran kami di Sabak Bernam pada hari ini adalah sebahagian daripada kesinambungan tersebut, dan kami mahu terus kembali serta memperkukuh hubungan yang telah dibina bersama masyarakat di sini,” kata Cik Tan Mei Phing.